Followers

♥ Like Button ♥

Saturday, January 1, 2011

Langkah Pertama...

Langkah pertama penting dalam melakukan perubahan...
Langkah pertama perlu berani dan bijak diatur supaya sekali jatuh kita akan berani bangkit semula...
Langkah pertama perlu diiringi azam yang membara serta ikhlaskan niat kerana Allah...

Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil dalam melakukan Langkah Pertama (perubahan)....

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).

Tiba-tiba terfikir satu persoalan.

Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?

Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?

"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk"
- Surah Az-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.

Yang mana lebih kita kejarkan? Perubahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?

Pastinya yang lebih baik.

Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.

Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:

"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"

"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"

Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.

Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.

Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2

Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?

Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.

Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.

Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun.

Andai kata tiada siapa yang menyokong akan perubahan kita...
atau mungkin langkah pertama terpaksa diambil bersendirian...
Ingatlah Allah sentiasa bersamamu...

Teringat kisah seorang sahabat fara yang ingin memakai tudung tetapi kerana ibu serta ahli keluarganya sendiri tidak bertudung dia telah membatalkan niat tersebut...
Ingatlah sekiranya kita yang menjadi pencetus kepada perubahan yang lebih baik...
insyaAllah kita sebenarnya berdakwah tanpa disedari...
Dakwah mungkin bukan sahaja dengan kata-kata tetapi adalah lebih baik dengan contoh yang baik...

"Cegahlah kemungkaran dengan tanganmu, sekiranya tidak mampu cegahlah dengan lisan dan sekiranya tidak mampu cegahlah dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman"

Mungkin kita tidak berdaya mencegah dengan kuasa (tangan) dan juga takut untuk menegur dengan lisan tetapi cukuplah dengan hati melalui doa supaya mereka dikurniakan Allah petunjuk serta melalui contoh yang baik...
insyaAllah mereka akan terbuka hati untuk bersama-sama dengan kita mengatur LANGKAH PERTAMA dalam melakukan perubahan... ^_~




♥ with love, fara ♥


No comments:

Post a Comment

Kritikan Membina